...visiblers...
January 9, 2010
AYUH SELANGOR!!!!!!!!!!!!!!!!!
Devan azam permulaan cemerlang
Friday, 08 January 2010 02:43
SEGALA kelebihan yang dimiliki Negeri Sembilan pada pertemuan Piala Sumbangsih yang bakal berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini langsung tidak menghadirkan gerun buat ketua pengendali Selangor, K Devan yang sebaliknya yakin senario itu akan melahirkan satu laungan semangat yang lebih membara kepada semua anak buahnya.
Selain bergelar tuan rumah dan pastinya mendapat sokongan padu peminat tempatan, Negeri Sembilan juga unggul menatang gelaran selaku juara Piala Malaysia musim lalu tetapi Devan yang turut memikul tugas selaku Pengurus pasukan itu tidak gentar dengan cabaran yang dihulur skuad Rusa yang dibimbing ketua jurulatih Wan Jamak Wan Hassan itu.
"Kami tidak takut dengan sokongan padu peminat Negeri Sembilan. Memang jika dilihat pada catatan musim lalu, Negeri Sembilan adalah juara Piala Malaysia dan sudah pastinya mereka adalah satu pasukan yang kuat. Mereka mempunyai segala kelebihan yang diperlukan pada perlawanan Piala Sumbangsih nanti. Tetapi itu semua hanyalah catatan di atas kertas.
"Kami tidak gentar dengan catatan itu dan hasrat kami cuma satu iaitu kami mahu mempertahankan Piala Sumbangsih yang kami menangi musim lalu. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang hasrat kami itu," kata Devan.
Biarpun bersemangat, perancangan Devan mungkin sedikit dicacatkan oleh kecederaan yang menimpa beberapa pemain tonggaknya termasuk kapten pasukan, Mohd Amri Yahyah, Khairul Anuar Baharom, Farderin Kadir serta P Gunalan.
Di antara empat pemain itu, hanya Gunalan yang sudah pasti tidak akan dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan lutut yang agak serius dan perlu direhatkan untuk tempoh dua hingga tiga minggu lagi manakala baki tiga pemain terbabit sudah mula turun menjalani latihan.
"Kita perlu lihat dalam sehari dua ini sama ada Amri, Khairul dan Farderin boleh disenaraikan atau tidak. Jika dilihat pada sesi latihan yang kami jalankan hari ini, ketiga-tiganya sudah boleh bersama-sama rakan-rakan yang lain dan itu adalah petanda yang cukup baik.
"Semua pemain Selangor berada dalam keadaan yang cukup baik ketika ini. Saya lihat mereka sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal. Semuanya bersemangat untuk mempertahankan Piala Sumbangsih," kata Devan.
Selangor yang mendapat jolokan Gergasi Merah itu mengumpul tiga kejuaraan musim lalu iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super. Musim ini, selain mahu mempertahankan ketiga-tiga gelaran itu, masing-masing menanam azam untuk memenangi Piala Malaysia - satu-satunya gelaran yang gagal dimenangi musim lalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment